KOTA SAMARAHAN: Rondaan cegah jenayah polis membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di Kampung Tanjung Bundong, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, berkata suspek ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan ketika menjalankan rondaan kira-kira 3.00 pagi.
Menurutnya, anggota terbabit mengesan kabel yang sedang dibakar di kawasan semak berhampiran sebuah motosikal sebelum menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan dan tindakan lanjut membawa kepada penahanan suspek serta rampasan 20 gulung kabel, satu batang pemotong wayar dan sebuah motosikal Honda Wave,” katanya.
Mohd Irwan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan mencuri kabel sebelum ditahan untuk siasatan.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

Beliau berkata, polis akan terus mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan tumpuan bagi mencegah kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan masyarakat di daerah Kota Samarahan.
Oleh itu, orang ramai turut disaran menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.
Oleh Connie Chieng





