
KUCHING: Seorang penunggang motosikal berusia 48 tahun maut selepas dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang jalan di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub awal pagi semalam.
Menurut kenyataan Polis Daerah Kuching, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Keeway K-Light 202 yang berlaku kira-kira 4.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Jambatan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub menuju ke pusat bandar sebelum dipercayai hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang di sebelah kanan jalan.
“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada 4.42 pagi oleh Pembantu Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Saundri A/P Govinda Rajoo di talian 011-27549620 atau 082-259900, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.