PETRA JAYA: Penubuhan Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) memainkan peranan penting untuk menyelaraskan kecerdasan buatan (AI) dengan nilai dan etika dalam usaha memajukan agenda ekonomi, sosial dan alam sekitar di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata pusat itu ditubuhkan bagi menasihati kerajaan berkenaan pembangunan AI, dasar, peraturan dan juga etika.
”Selain itu, SAIC juga ditubuhkan bagi merancang, membangun dan melaksanakan inisiatif AI dan pengkomersilan produk serta penyelesaian AI selain terlibat dalam penyelidikan dan inovasi berkaitan AI.
”SAIC juga memainkan peranan penting untuk meningkatkan pemahaman komuniti berkaitan AI dan teknologi yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucaptama dalam Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2024 (IDECS24) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, hari ini.
Tambah beliau, bidang tumpuan SAIC itu merangkumi penyelidikan dan pembangunan yang memberi fokus kepada asas, penyelidikan dan pembangunan translasi.
Selain itu, inovasi, penerapan teknologi dan usaha niaga akan memfokuskan kepada penggunaan teknologi, penyelesaian dan produk AI, pengkomersilan, syarikat permulaan dan usaha niaga AI.
”Sementara itu, tadbir urus AI akan memberi tumpuan kepada dasar dan peraturan, penggunaan AI yang beretika dan bertanggungjawab, keselamatan, keselamatan dan boleh dipercayai.
”Tumpuan pusat pada pengetahuan AI pula akan memberi fokus kepada keupayaan AI, jangkauan dan kesedaran serta perundingan,” katanya lagi.
Oleh Rynna Sha’erra