
SIMANGGANG: Persatuan Peniaga Kopi Bahagian Sri Aman telah meraikan penubuhannya ke-53 tahun di Dewan Suarah Sri Aman, malam tadi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, berkata menubuhkan persatuan merupakan langkah tepat sebagai platform berpusat mewakili ahli persatuan membawa isu yang dihadapi untuk mencari penyelesaian bersama pihak agensi atau kerajaan yang berkaitan dengan perniagaan kedai kopi dan restoran.
“Para peniaga masa kini perlu menyesuaikan diri dengan kaedah urusan perniagaan masa kini yang jauh berubah dari 53 tahun yang lepas.
“Ini merupakan cabaran yang perlu dihadapi dengan bijak oleh persatuan agar perniagaan mempunyai daya saing selari dengan sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti penggunaan e-Invois.
“Kita mengakui ramai peniaga yang berniaga kedai kopi berskala kecil sahaja dan diwarisi secara turun-temurun.
“Mereka tidak berkemampuan untuk menyediakan mesin bayaran, ditambah dengan tidak mempunyai kepakaran dalam mengendalikan mesin berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-53 Penubuhan Persatuan Peniaga Kopi dan Restoran Bahagian Sri Aman-Betong di Dewan Suarah Sri Aman, malam tadi.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, berkata pada sudut inilah persatuan mesti mencari jalan untuk membantu ahli dengan mengadakan kursus memberi tunjuk ajar kepada ahli dalam persatuan.
“Dari seperkara juga penting dalam perniagaan makanan dan minuman adalah dari segi aspek kebersihan.
“Premis yang bersih dan tersusun merupakan tarikan kepada pelanggan dan ini juga saranan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengutamakan kesihatan pelanggan yang datang ke kedai.
“Sebagai contoh meletakkan papan tanda ‘Dilarang Merokok’, ‘Tidak Dibenarkan Membawa Binatang Ternakan’ dan sebagainya.
“Kepatuhan kepada arahan ini menjadikan perniagaan sesebuah kedai kopi boleh berdaya maju dan mengekalkan pelanggan,” katanya.
Harden, berkata di bandar Simanggang, beliau melihat kebelakangan ini peniaga kedai kopi telah bertambah namun begitu jumlah kedai kopi tidak dapat menampung kehadiran pelangggan terutamanya bila tiba musim pesta.
Ini kerana pengunjung bukan sahaja dalam Daerah Sri Aman, ia juga termasuk pengunjung dari luar Bahagian Sri Aman.
Harden, dalam pada itu turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Peniaga Kopi Bahagian Sri Aman kerana telah mencapai usia melebihi setengah abad, dan masih aktif melayani para ahli yang mendaftar sebagai ahli persatuan.
Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Kopi dan Restoran Sarawak Hii Hung Yii, Pengerusi Persatuan Peniaga Kopi dan Restoran Bahagian Sri Aman dan Betong Ng Kwang Yong, Presiden Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Sri Aman dan Betong Dato’ Dr. Ngu Piew Seng, Pengerusi Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman Temenggong Kueh Aik Seng dan Pengerusi Kehormat Persatuan Peniaga Kopi dan Restoran Bahagian Sri Aman dan Betong Yew Heng Siong.
Oleh Adi Safarman