KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee memberitahu, adalah penting untuk terus mendedahkan jurulatih tempatan kepada teknik dan proses latihan yang berbeza dalam usaha memajukan sesuatu sukan berkenaan.
Menurut Dr Ong, pendekatan tersebut yang bertujuan memberi peluang kepada mereka terlibat menambah pengetahuan.
“Ini dapat membolehkan jurulatih berkualiti menghasilkan atlet berkualiti yang mampu mewakili Sarawak dalam pertandingan lebih tinggi,” ujar beliau.
Dr Ong yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) mengakui, dengan cara sebegini juga akan dapat merealisasikan hasrat kerajaan yang mahu menjadikan Sarawak sebagai ‘Kuasa Sukan’ di negara ini.
Mengulas mengenai kem latihan lemparan yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tong Hua di Sarikei bermula dari 6 hingga 9 Jun lalu, beliau melihat ia sebagai usaha yang amat tepat.
“Kem latihan tersebut secara tidak langsung dapat meningkatkan kembali aspek teknikal dan fizikal kepada semua yang terlibat,” tegas beliau.
Sambil menambah kem latihan berkenaan yang dihadiri empat jurulatih dan 13 orang atlet termasuk himpunan pemenang pingat Sukma 2018 iaitu Johnny Ling dan Ngu Ing Biao selain atlet baharu berbakat besar.
“Menerusi kem latihan ini akan dapat menilai potensi atlet yang akan bersaing di kejohanan lebih mencabar selepas ini,” tambah beliau lagi.
Oleh Faizal Bujang