KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan kewangan bersedia membantu dan memberi sokongan kepada keluarga rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir di sempadan Nepal-China baru-baru ini, sejajar dengan undang-undang dan peraturan berkaitan.
Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan bantuan atau langkah ihsan itu termasuk penangguhan bayaran balik, pengecualian yuran dan caj serta kelonggaran dalam keperluan dokumentasi sementara menunggu proses undang-undang berkaitan selesai.
“Institusi kewangan juga boleh memberi keutamaan dalam memproses dan mengesahkan status polisi atau sijil, mempercepatkan bayaran tuntutan insurans dan takaful serta menyediakan bentuk sokongan lain yang sesuai mengikut keperluan keluarga terjejas,” maklum BNM dalam kenyataan kepada Bernama.
Sehubungan itu, bank pusat berkenaan meminta waris terdekat rakyat Malaysia yang terjejas supaya menghubungi institusi kewangan berkaitan bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.
Pada masa sama, BNM memaklumkan pihaknya akan bekerjasama rapat dengan institusi kewangan bagi memastikan bantuan terbabit dapat disalurkan dengan segera kepada mereka yang terjejas akibat bencana berkenaan. – Bernama




