KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof menekankan kepentingan bagi mangsa banjir mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekurang-kurangnya memaklumkan lokasi mereka kepada pihak berkuasa bagi memudahkan penyaluran bantuan.
“Saya ingin menegaskan betapa pentingnya untuk mangsa mendaftar di PPS atau memberitahu pihak berkuasa mengenai lokasi mereka.
“Ini bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat dan efisien.
“Jika mereka berpindah ke kawasan tinggi tanpa mendaftar, akan sukar bagi pihak berkuasa untuk mengesan keberadaan mereka, sekali gus menyukarkan usaha memberi bantuan,” katanya ketika melawat PPS di Dewan Segedup, hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa PPS bukan hanya berfungsi sebagai tempat perlindungan, tetapi juga sebagai pusat penyelarasan bantuan makanan, penginapan, dan perkhidmatan kesihatan bagi mangsa banjir.
Selain itu, Fadillah memuji usaha semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir, termasuk agensi kerajaan, penguat kuasa, NGO, dan komuniti setempat.
“Dalam situasi seperti ini, kekangan logistik dan cabaran pengangkutan kadang-kadang menyukarkan usaha pemindahan dan penghantaran bantuan.
“Namun, kami sentiasa berusaha untuk memastikan bantuan sampai kepada mangsa, walaupun menggunakan helikopter di kawasan yang terputus hubungan,” jelasnya.
Menurut Fadillah, sebagai langkah seterusnya, pihak berkuasa akan menggerakkan sukarelawan.
Ini terutamanya, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), untuk membantu membersihkan rumah-rumah mangsa yang terjejas apabila mereka kembali selepas banjir surut,
Untuk makluman, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Segedup telah ditutup, 3.00 petang tadi.
Oleh Amanda L.