
MUNICH: Diskaun bagi kenderaan elektrik (EV) di Jerman meningkat pada April, dengan purata potongan harga mencecah 16.7 peratus, naik 1.8 mata peratusan berbanding Mac, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut pakar ekonomi automotif Ferdinand Dudenhoffer, sejak Januari, diskaun EV meningkat sebanyak tiga mata peratusan, bersamaan penjimatan melebihi €1,000 (US$1,132) bagi model biasa. Beliau menganalisis harga dalam talian bagi 20 model kereta elektrik sepenuhnya yang paling popular di Jerman.
“Pada April, ambang bagi menawarkan diskaun lebih tinggi ke atas kenderaan elektrik menurun,” kata Dudenhoffer sambil meramalkan pemotongan harga akan berterusan dalam beberapa bulan akan datang.
Pengeluar kereta kini berada di bawah tekanan untuk menjual lebih banyak EV bagi memenuhi sasaran pelepasan CO2 Kesatuan Eropah. Beberapa jenama juga menukar sistem pengedaran mereka, yang membawa kepada penggunaan semula insentif pengedar dan kempen promosi bagi merangsang permintaan yang lemah.
Diskaun bagi kenderaan berenjin pembakaran dalaman dan hibrid plug-in pula menurun sedikit pada April dan kenaikannya sejak Januari jauh lebih rendah berbanding insentif EV, kata Dudenhoffer.
Akibatnya, jurang harga antara EV dan kereta konvensional semakin mengecil dan kini berada pada paras terendah sejak subsidi EV yang dibiayai kerajaan ditamatkan.
Dudenhoffer berkata sektor kenderaan elektrik Jerman kini mungkin berada di ambang “lonjakan baharu yang dipacu oleh harga yang lebih menarik.”
Pendaftaran baharu EV di Jerman kembali meningkat pada suku pertama selepas merudum awal 2024 susulan penamatan subsidi kerajaan.– Bernama-dpa