
ASAJAYA: Kegiatan seorang lelaki tempatan yang dipercayai aktif menjual air ketum sejak tahun lalu terbongkar selepas ditahan dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah Bilangan 23/2026 di Kampung Asajaya Lot, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan yang diketuai Inspektor Jasni Nimos kira-kira 3.30 petang.
Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan di bahagian dapur sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan menemukan 13 botol mengandungi cecair hijau keruh disyaki air ketum yang disimpan dalam pelbagai jenis botol minuman.
“Turut dirampas sebuah kotak berwarna oren bertulis ‘OCEAN OCN-F50L’ yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak 19,500 mililiter air ketum dengan nilai pasaran sekitar RM585,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku semua air ketum yang dirampas adalah miliknya dan mengakui terbabit dalam kegiatan penjualan air ketum sejak awal tahun 2025.
Katanya, suspek turut mengaku memperoleh bekalan daun ketum daripada seorang individu dikenali sebagai Pak Ali di kawasan Ladong, Simunjan.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya.
Suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Kota Samarahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Damataries berkata, polis akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran air ketum demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa memproses, mengedar atau menjual air ketum merupakan kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Oleh Shahrul Qaizat