SARIKEI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarikei menggalakan penjaja dan suri rumah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) atau Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Pengurus PERKESO Sarikei Fenny Lim berkata, SKSPS adalah skim untuk mereka yang bekerja sendiri.
“Tahun ini kita ada SKSPS untuk mereka yang bekerja sendiri, di mana ia mempunyai subsidi kerajaan. Penjaja yang mencarum di bawah skim ini hanya perlu membayar sebanyak RM46.60 setahun.
“Skim ini adalah satu skim yang memberi pelindungan kepada para penjaja ketika mereka menjalankan perniagaan dan ketika dalam perjalanan untuk berniaga, mereka dilindungi di bawah PERKESO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual para pemberita di Program Penyerahan Penerima Faedah Bersama Penjaja Sarikei, bertempat di Pasar Sentral Sarikei, baru-baru ini.
Program tersebut juga turut bertujuan untuk memperkenalkan SKSPS dan SKSSR kepada para penjaja dan suri rumah.
Tambahnya, SKSSR merupakan skim yang terbaharu dari PERKESO.
“SKSSR hanya bernilai RM120 setahun, di mana skim ini memberi perlindungan kepada suri rumah sama ada suri rumah sepenuh masa ataupun suri rumah yang bekerja.
“Skim ini memberikan pelindungan semasa mereka melakukan kerja-kerja di rumah yang berkaitan dengan pengurusan rumah tangga.
“Jadi ini merupakan satu skim yang baharu dan amat baik. Kita memberi perlindungan dari segi kemalangan dan penyakit kronik,” katanya.
Oleh itu, beliau amat berharap para penjaja dan suri rumah dapat mencarum di bawah PERKESO.
“Sambutan terhadap SKSPS setakat ini amat menggalakkan, namun demikian masih ramai lagi penjaja di kawasan Sarikei dan kawasan pedalaman seperti Julau dan Pakan belum mengetahui tentang faedah-faedah PERKESO pada masa kini.
“Sebab itu kita memberi peluang kepada para penjaja untuk mendaftar dan kita juga akan membuka gerai-gerai (booth) di kawasan sekitar Pasar Sentral Sarikei untuk memudahkan mereka mendaftar dengan PERKESO,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek