
DEBAK: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas mencatatkan peningkatan prestasi ketara dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dengan lonjakan Gred Purata Sekolah (GPS) daripada 5.69 mata kepada 4.97 mata, peningkatan sebanyak 0.72 mata berbanding tahun sebelumnya.
Seramai 141 calon menduduki peperiksaan SPM 2024, dan daripada jumlah tersebut, 30 orang pelajar berjaya meraih keputusan cemerlang, satu pencapaian membanggakan bagi sekolah luar bandar yang terus komited melahirkan pelajar berkualiti.
Antara pelajar yang mengharumkan nama sekolah ialah Rizatul Anis Rizam, yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik selepas memperoleh 11A. Kejayaan beliau menjadi bukti kepada ketekunan, disiplin dan bimbingan guru yang konsisten.
Selain itu, Ghina Himayra Sarudin, Fiona Wong Hui Fen, dan Roshiaxna Collisa Neyan Robert turut mencatat kecemerlangan dengan 8A masing-masing. Manakala Nur Evanatasha Zainudin dan Izzah Halqah Zulkifli memperoleh 7A.
Pengetua SMK Saribas, Nur Liana Lim dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada barisan pendidik dan ibu bapa atas sokongan yang berterusan dalam mencorak kejayaan pelajar.
Beliau juga menekankan pentingnya usaha berterusan untuk mengekalkan momentum kecemerlangan ini.
“Kejayaan ini bukan milik individu semata-mata, ia adalah hasil usaha kolektif seluruh warga sekolah. Kami bangga dengan pencapaian pelajar dan berdoa agar kejayaan ini menjadi pemangkin kepada generasi akan datang,” katanya.
Majlis pengumuman keputusan turut disambut meriah dengan kehadiran pelajar, ibu bapa dan warga pendidik yang tidak melepaskan peluang untuk merakam detik kegembiraan. Dalam suasana yang penuh semangat, mereka berkongsi rasa syukur dan bangga atas pencapaian yang mengharumkan nama sekolah.
SMK Saribas sekali lagi membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya milik sekolah bandar. Dengan semangat juang tinggi dan dedikasi berterusan, sekolah luar bandar juga mampu mencipta kejayaan yang luar biasa.
Oleh Adi Safarman