Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Peniaga diingat patuhi pengisytiharaan 90 hari
  • Tengah
  • WILAYAH

Peniaga diingat patuhi pengisytiharaan 90 hari

Utusan Sarawak 3 hours ago
UNTUK KENANGAN….Alice Lau merakam kenangan bersama Norlia (enam kiri) dan pegawai selepas mengadakan sesi dialog di Pejabat Tenaga Kerja Sibu.

SIBU: Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Alice Lau mengingatkan semua syarikat dan premis perniagaan supaya mematuhi kewajipan membuat pengisytiharan kepada Pejabat Tenaga Kerja dalam tempoh 90 hari selepas memulakan operasi.

Beliau berkata, perkara itu diperuntukkan di bawah Seksyen 60A Ordinan Buruh Sarawak dan wajib dipatuhi oleh semua syarikat termasuk yang baru ditubuhkan sama ada mempunyai pekerja ataupun tidak.

Menurutnya, ramai peniaga masih terlepas pandang akan keperluan tersebut walaupun ia bukan peraturan baharu dan telah dilaksanakan sejak sekian lama.

“Perkara ini sama penting seperti syarikat memohon lesen perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pejabat Daerah atau pihak berkuasa tempatan.

“Syarikat juga perlu berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan sekiranya mempunyai pekerja, mereka turut perlu berdaftar dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

Ahli Parlimen Lanang itu berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Tenaga Kerja Sibu serta sesi dialog bersama pengarahnya, Norlia Jawor, dan beberapa pegawai bagi membincangkan isu yang timbul susulan operasi pemeriksaan mengejut dijalankan baru-baru ini.

Difahamkan, operasi penguatkuasaan tersebut mendapati masih banyak syarikat dan premis perniagaan gagal mematuhi kewajipan undang-undang berkaitan sehingga dikenakan kompaun.

Susulan itu, pusat khidmat Alice Lau turut menerima pelbagai maklum balas dan pertanyaan daripada para peniaga.

Katanya, pengisytiharan tersebut hanya perlu dibuat sekali sahaja dan tidak perlu dikemukakan semula walaupun berlaku perubahan jumlah pekerja pada masa hadapan.

Alice Lau mengingatkan bahawa tindakan atau penalti masih boleh dikenakan sekiranya majikan gagal membuat pengisytiharan semasa pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan.

Tambahnya, proses pengisytiharan adalah mudah kerana peniaga hanya perlu mengisi beberapa borang sebelum dihantar ke Pejabat Tenaga Kerja Sibu di Tingkat 3, Bangunan Persekutuan, Jalan Teng Chin Hua.

Beliau turut menggesa Pejabat Tenaga Kerja Sibu memperkukuhkan usaha penerangan dan memperbanyakkan sesi libat urus bersama persatuan perniagaan menerusi pendekatan pendidikan dan advokasi supaya lebih ramai peniaga memahami tanggungjawab undang-undang berkaitan.

Dalam pada itu, Norlia memberi jaminan bahawa syarikat yang telah lama beroperasi tetapi masih belum membuat pengisytiharan boleh tampil secara sukarela tanpa dikenakan denda atau sebarang kesulitan.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Ular sawa batik 4.3 meter ‘sembunyi’ bawah rumah ditangkap APM Spaoh
Next: IPD Lawas adakan latihan menembak tahunan selama dua hari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.