PETRA JAYA: Pengurangan sementara penerbangan oleh Malaysia Airlines (MAS), Firefly selain Amal iaitu unit penerbangan haji dan umrah Malaysia Aviation Group (MAG) baru-baru ini memberi sedikit kesan kepada industri pelancongan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata terdapat beberapa penerbangan menuju ke Sarawak ditangguhkan sejak beberapa minggu lalu.
“Semasa Sukan Malaysia (SUKMA) yang baru berakhir, di sana
telah banyak penerbangan tertunda. Di Miri, beberapa atlet menghadapi kelewatan selama sembilan jam, dan mereka terpaksa tinggal di lapangan terbang kerana telah mendaftar keluar dari penginapan.
“Justeru, perkara ini telah menimbulkan sedikit kesulitan kepada orang ramai,” katanya kepada media di Bangunan Baitul Makmur II, di sini hari ini.
Abdul Karim berkata apa yang perlu dilakukan ialah jadual penerbangan harus teratur.
Beliau memberi reaksi kepada laporan bahawa MAS, Firefly, dan
Amal akan mengurangkan kekerapan penerbangan mereka sehingga Disember untuk menangani
isu yang telah mengakibatkan gangguan baru-baru ini seperti kegagalan enjin, pendaratan kecemasan, lencongan penerbangan, penyelenggaraan pesawat, gangguan rantaian bekalan dan masalah teknikal.
Oleh NUR AIN OTSMAN