KUCHING: Semua aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan di kawasan terbuka dan separa terbuka kini dibenarkan kepada individu yang sudah lengkap menerima suntikan vaksin dengan mematuhi garis panduan (SOP) yang ditetapkan.
Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang Ahad lalu nyata menjadi khabar gembira buat rakyat di seluruh negara termasuk Sarawak.
Menurut Akmal Ariffin Abdullah, 24 tahun, berkata aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik kepada rakyat.
Selain itu katanya, aktiviti sukan yang dibenarkan juga tidak melibatkan jumlah individu yang banyak dan masih boleh dikawal oleh pihak bertanggungjawab.
“Bagaimanapun, ia masih perlu di pantau kerana rata-rata sukan yang dibenarkan merupakan sukan yang dilakukan di kawasan yang terbuka bagi menbendung penularan virus Covid-19 dalam kalangan masyarakat,” katanya yang berasal dari Asajaya terbabit.
Menurut Muhd Syafizi Syafik Redzuan, 23 tahun, keputusan tersebut dapat memotivasikan segelintir kumpulan rakyat yang masih belum menerima vaksin untuk mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin.
“Sudah jelas keputusan ini mempunyai pro dan kontra kerana ia sedikit sebanyak membolehkan kita kembali ke kehidupan normal seperti sedia kala meskipun ada kesan negatifnya seperti berkemungkinan menjadi faktor penularan semula jangkitan Covid-19.
“Namun, dengan menerima vaksin lengkap yang diberikan kerajaan selain turut mematuhi SOP yang ditetapkan, Insya-Allah kita mampu membendungnya,” katanya yang merupakan pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Manakala bagi Khairul Farhannuddin Kipli, 24 tahun berkata kebenaran tersebut tidak menjadi masalah kepada negeri bahkan negara asalkan rakyat masih mengamalkan SOP.
Dia yang juga berasal dari Samarahan berkata, tidak menjadi masalah sekiranya rakyat dibenarkan mengadakan atau menjalankan aktiviti sukan dan riadah kerana aktiviti sukan sangat penting untuk kesihatan diri selain menjadi terapi minda.
“Impak negatif juga akan tidak terjadi sekiranya individu itu dapat mendisiplinkan diri dengan mematuhi SOP dalam melakukan aktiviti sukan,” ujarnya.
Bagi Naufal Nuraffiq Sharbini, 24 tahun berharap agar kelonggaran dan kemudahan yang diberikan dapat diguna dengan sebaik mungkin selain masyarakat turut dingatkan agar jangan alpa kerana peningkatan kes saban hari semakin membimbangkan.
“Kemudahan yang diberikan kerajaan ini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat dalam apa jua keadaan. Bagaimanapun kita sebagai rakyat perlu memberi kerjasama kepada kerajaan dalam mengekang penularan jangkitan daripada terus berleluasa,” katanya.
Oleh SYAMIMI HUSNA