KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan undang-undang siber perlu dilaksanakan untuk membendung hakisan sosial di platform dalam talian.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak telah mengenal pasti bahawa media sosial menjadi cabaran utama yang berpotensi menghakis kesepaduan sosial, terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Katanya, kajian tersebut juga mendapati bahawa generasi muda cenderung mempercayai berita palsu yang dikongsi dalam talian yang sering mengganggu keharmonian etnik.
“Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Perpaduan Negara perlu diteruskan bagi memastikan kawalan sosial di platform dalam talian dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada berucap majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak kali ke-15 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kajian oleh pasukan penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapati tahap kesepaduan sosial di kedua-dua wilayah tersebut berada pada tahap yang tinggi.
“Perbezaan etnik, agama, dan latar belakang budaya masyarakat di Sarawak dan Sabah tidak menjadi penghalang kepada pembentukan kesepaduan sosial.
“Modal kesepaduan sosial di Sabah dan Sarawak boleh dijadikan panduan serta amalan dalam merangka program integrasi nasional,” katanya.
Mengenai program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024, Aaron menjelaskan bahawa ia bukan sekadar wadah untuk anak Sarawak “berambeh” beramai-ramai tetapi juga simbol kebersamaan, keharmonian, dan kasih sayang antara sesama anak-anak Sarawak.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LBAS 2024 berharap agar semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Sarawak akan terus terpelihara dan semakin kukuh demi mencapai Sarawak Maju dan Makmur.
Pada majlis sama, majlis perasmian LBAS 2024 telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof dan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Majlis makan malam tersebut turut dihadiri seramai lebih 7,000 warga Sarawak.