KUALA LUMPUR, 6 Oktober: Isu buli di sekolah tidak lagi boleh dilihat sebagai masalah terpencil sebaliknya menuntut perubahan naratif secara menyeluruh dengan menghentikan budaya saling menuding jari antara pelbagai pihak.
Pensyarah Sekolah Pengajian Umum dan Bahasa Universiti Taylor’s Malaysia Dr Sharala Subramaniam berkata tumpuan utama sepatutnya diberikan kepada usaha memperbaiki ekosistem pendidikan berbanding mencari pihak untuk dipersalah dalam menangani lonjakan 5,681 kes buli yang dicatat bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
“Persoalan paling penting ketika ini bukan sekadar siapa yang salah sebaliknya mengapa perkara ini masih berlaku, dan apa yang boleh kita lakukan bersama-sama untuk menghentikannya.
“Buli bukan hanya masalah sekolah, ia melibatkan ekosistem yang lebih besar merangkumi pelajar, keluarga, sekolah, rakan sebaya, masyarakat serta dunia digital, dan kita perlu beralih daripada budaya menyalahkan kepada budaya yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini yang membicarakan topik bertajuk ‘Buli Di Sekolah: Jangan Lindungi, Jangan Sembunyi’ terbitan Bernama TV hari ini.
Sharala berkata selari dengan prinsip “Jangan Lindungi, Jangan Sembunyi”, pihak sekolah dan ibu bapa perlu memainkan peranan dengan tidak menyembunyikan atau melindungi kes buli semata-mata demi menjaga reputasi serta nama baik.
Beliau berkata reputasi sesebuah institusi tidak akan terjejas hanya kerana mengakui wujudnya masalah sebaliknya nama baik institusi akan terhakis jika isu berkenaan diketahui tetapi dibiarkan tanpa tindakan susulan.
“Sekolah yang berani melaporkan, menyiasat dan mengambil tindakan sebenarnya menunjukkan sistem (di sekolah) itu berfungsi… keterbukaan mesti berjalan seiring dengan ketelusan, keadilan dan tindakan yang pantas,” katanya.
Mengulas mengenai peranan rakan sebaya, Sharala berkata setiap pelajar perlu dididik untuk tidak takut melaporkan kes buli dengan memastikan persekitaran selamat diwujudkan sekali gus menjamin suara mereka yang melaporkan kejadian itu didengari dan dilindungi.
“Kita perlu membina budaya bahawa melaporkan buli tidak dianggap sebagai pengadu atau penyibuk sebaliknya bersuara untuk melindungi orang lain adalah satu bentuk keberanian dan tanggungjawab sebagai rakan,” katanya.
Menyentuh mengenai cabaran buli siber yang semakin kompleks menerusi platform seperti WhatsApp, TikTok, Instagram dan permainan dalam talian, beliau menekankan kepentingan penerapan empati digital dalam kalangan generasi muda.
Sharala berkata walaupun teknologi berubah dengan pantas, nilai asas seperti hormat-menghormati, empati dan tanggungjawab perlu terus kekal menjadi pegangan utama. – Bernama



