KUCHING: Memandangkan Kes positif Covid-19 di Daerah Kuching kian meningkat setiap hari, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah menilai situasi tersebut dengan mengambil kira kes jangkitan tempatan yang direkodkan di Daerah Kuching.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi Daerah Kuching dilaksanakan mulai 9 hingga 22 November 2020 (14 hari).
“Pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia.
“Manakala pergerakan rentas daerah dalam Negeri Sarawak dibenarkan kecuali keluar dan masuk ke Daerah Kuching dan prosedur operasi standard (SOP) akan dikeluarkan pada 8 November 2020,”katanya.
Douglas turut menjelaskan bahawa, Daerah Kuching kekal berstatus merah manakala, beberapa daerah lain kekal berstatus hijau.
“Jumlah keseluruhan 151 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas manakala, Daerah Miri, Lundu dan Limbang kekal berstatus kuning.
“Ini menjadikan jumlah daerah yang berstatus Merah adalah satu buah, tiga berstatus Kuning dan 36 daerah yang lain di Sarawak kekal berada dalam status Hijau,” ujarnya.
Justeru, JPBNS amat mengharapkan kerjasama semua pihak untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19.
“Oleh itu, saya menyaran kepada semua individu bahawa jika kita sayang diri kita sendiri, keluarga, rakan dan Sarawak untuk menjalani ujian Covid-19 di fasiliti kesihatan berhampiran anda sekiranya anda mempunyai risiko terdedah kepada kes positif Covid-19.
“Amalkan penjarakan fizikal, tangguhkan semua perjalanan dan perjumpaan bersemuka sehingga tamat tempoh pengasingan kendiri dan bersama kita dapat melakukannya,” katanya lagi.
Oleh Jeakqleyn Yacho