DARO: Seorang penghuni terselamat selepas sebatang pokok tumbang menghempap sebuah rumah di Kampung Pantray petang tadi, menyebabkan kira-kira 10 peratus kerosakan pada struktur rumah berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 4.08 petang.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati pokok tumbang berkenaan telah menjejaskan bahagian sisi bumbung sebuah rumah tidak kekal.
Kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang dilakukan menggunakan gergaji berantai dengan bantuan penduduk kampung.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan penghuni rumah terbabit berada dalam keadaan selamat.
Turut membantu operasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.00 petang selepas kawasan kejadian disahkan selamat.
Oleh Akun Giman



