KUCHING: Penggunaan skuter elektrik (e-skuter) dilarang sama sekali digunakan di jalan raya di sini, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng.
Wee berkata, isu keselamatan pengguna adalah kerisauan utama pihak MBKS kerana tiada garis panduan yang jelas siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya pengguna mengalami kecederaan semasa menunggangnya.
Penggunaan e-skuter bahkan tidak menawarkan sebarang perlindungan apabila tiada kewajiban pengguna menggunakan topi keledar seperti mana penunggang yang menunggang motosikal.
Ini berikutan katanya, Syarikat Beam berkenaan beroperasi tanpa permit, malah BEAM juga tidak menyediakan apa-apa peralatan keselamatan seperti topi keledar dan lain-lain untuk melindungi penggunaannya.
Beberapa bulan lalu, kata Wee pihak polis dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan bahawa e-skuter tidak dibenarkan di jalan raya awam.
“Kesalahan besar guna e-skuter dalam taman MBKS,” katanya.
Beliau berkata, operasi skuter elektrik itu adalah dilarang sama sekali digunakan di taman MBKS kerana laluan di taman adalah laluan yang dikhaskan untuk pejalan kaki dan individu berjoging.
Selain itu, katanya, jalur jalan yang sempit juga menjadi salah satu sebab skuter elektrik terbabit dilarang penggunaannya di dalam taman kerana dikhuatiri akan menggangu pengguna taman.
Untuk mengendalikan e-skuter ini, kata beliau seseorang perlu mendapatkan kebenaran (permit) terlebih dahulu.
“Tempat rekreasi di sekitar bandar raya Kuching direka untuk pejalan kaki, penggunaan e-skuter mungkin akan membahayakan keselamatan orang awam yang menggunakan laluan berkenaan.
“Sekiranya ada kemalangan yang berlaku, siapa yang akan bertanggungjawab dan siapa yang akan dipersalahkan? Jadi kami mengambil langkah sewajarnya iaitu melarang penggunaan skuter elektrik ini,” katanya.
Beliau berkata, tindakan undang-undang juga akan dikenakan kepada sesiapa yang menggunakan skuter Beam ini.
“Perkhidmatan ini tidak sah dan sekiranya ada pengguna yang ditangkap menggunakannya, pihak polis boleh mengenakan penalti RM300.
“Penalti itu kalau bayar masih OK. Tetapi bagaimana jika berlaku kemalangan? Siapa yang akan bertanggungjawab? Ia adalah tanggungjawab pengguna.
“Jadi adakah anda akan mempertaruhkan nyawa anda? Oleh itu, kami cuba menghalang apa sahaja yang mampu merisikokan keselamatan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bazar Seni Mural Neurodivergent di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Beberapa bulan lalu, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) juga turut mengesahkan bahawa operator e-skuter Beam juga perlu mendapatkan kebenaran daripada mereka untuk dikendalikan di kawasan DBKU.
Tinjauan turut mendapati bahawa e-skuter Beam ditemui diparkir di beberapa tempat di kawasan MBKS dan DBKU.
Oleh SHAHRUL QAIZAT