BEKENU, 6 November: Suasana politik yang kelihatan tenang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu mungkin berubah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 apabila timbul perkembangan mengenai kemungkinan kemunculan individu bergelar Dato Sri yang berminat merebut kerusi berkenaan.
Perkembangan itu turut mendapat perhatian penyandang kerusi DUN Bekenu, Datuk Rosey Yunus, yang mengingatkan bahawa keadaan politik yang kelihatan tenang tidak semestinya bermakna tiada persaingan.
“Sungai yang tenang jangan disangkakan tiada buaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN13 Peringkat DUN N71 Bekenu di Dewan Masyarakat Bekenu, hari ini.
Ungkapan itu membawa gambaran bahawa setiap pihak perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, terutama ketika parti-parti politik mula memperkukuh persediaan menjelang pilihan raya.
Sebagai penyandang, Rosey berdepan tanggungjawab mempertahankan mandat rakyat, namun perkembangan politik semasa menunjukkan kerusi berkenaan tidak boleh dianggap bebas daripada persaingan.
Dengan hari penamaan calon dijadualkan berlangsung pada 28 November ini, perhatian kini tertumpu kepada calon yang bakal diketengahkan untuk bertanding di DUN Bekenu.
Sejak pembubaran DUN Sarawak pada 26 Oktober lalu, suasana politik di kawasan itu dilihat masih tenang. Bagaimanapun, perkembangan mengenai kemungkinan kemunculan pencabar baharu memberi satu lagi dimensi kepada persaingan politik di Bekenu.
Oleh Adum Liu





