
TANJUNG MANIS: Demi memastikan perjalanan pulang ke kampung lebih selamat musim Aidilfitri ini, pengguna jalan raya di sini disapa dengan kempen keselamatan jalan raya.
Kempen ini turut disertai dengan pengagihan 100 beg cenderamata oleh Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abdul Wahab.
Yusuf menegaskan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama.
“Saya menggesa semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan jauh.
“Pemandu dan penumpang kereta juga haruslah sentiasa memakai tali pinggang keledar dan topi keledar bagi yang bermotosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program ‘Road Side’ Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Aidilfitri 2025 bertempat di hadapan Rumah Rehat Kerajaan Belawai, semalam.
Sementara itu, Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah dalam ucapannya menegaskan bahawa kempen ini merupakan usaha berterusan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan keselamatan jalan raya, khususnya ketika musim perayaan yang sering menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.
Ismail berharap kempen tersebut dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya agar lebih peka dan bertanggungjawab semasa memandu, sekali gus membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Kempen ini bertujuan untuk mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan pemanduan selamat khususnya sepanjang musim perayaan.
Selain itu, ia juga bertujuan agar pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memandu dengan berhemah dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan jauh, terutamanya bagi mereka yang pulang ke kampung halaman.
Turut hadir, ketua-ketua jabatan serta ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) Daerah Tanjung Manis.
Oleh Earl Anek