Pengguna jalan raya diingatkan rancang perjalanan awal semasa Maraton Antarabangsa RSAWIT

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM...Michael Lau Chai Hing (duduk dua kanan) bersama barisan penganjur dan wakil agensi berkaitan menunjukkan pingat serta jersi rasmi Maraton Antarabangsa RSAWIT 2026 pada sidang media pengumuman acara itu, hari ini.

SIBU, 10 November: Pengguna jalan raya di bandar ini dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesulitan susulan penutupan sementara dua jalan utama sempena Maraton Antarabangsa RSAWIT 2026 pada 22 November ini.

Pengerusi pengelola program, Michael Lau Chai Hing berkata, langkah itu penting bagi memastikan kelancaran acara serta keselamatan peserta, petugas dan orang awam sepanjang perlumbaan berlangsung.

“Kami memohon pemahaman dan kerjasama semua pengguna jalan raya, khususnya mereka yang melalui kawasan sekitar lokasi acara serta laluan yang terjejas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, Jalan Bujang Suntong akan ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas bagi kedua-dua arah bermula 10.00 malam pada 21 November hingga 8.00 pagi keesokan harinya, manakala Jalan Tun Abang Haji Openg akan ditutup dari 5.30 pagi hingga 7.00 pagi pada 22 November.

Bagaimanapun, jalan lain yang menjadi sebahagian daripada laluan perlumbaan akan kekal dibuka kepada lalu lintas. Namun, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berwaspada kerana peserta akan menggunakan laluan berkenaan.

LALUAN bagi kategori larian santai sejauh tiga kilometer dan larian kompetitif 10 kilometer yang turut ditawarkan kepada peserta Maraton Antarabangsa RSAWIT 2026.

“Kami menasihatkan pemandu supaya lebih berhati-hati, memperlahankan kenderaan dan sentiasa peka terhadap kehadiran peserta larian serta arahan petugas trafik di sepanjang laluan,” katanya.

Sehubungan itu, Michael menggesa orang ramai mengambil maklum jadual penutupan jalan serta mengenal pasti laluan alternatif bagi mengelakkan gangguan perjalanan, khususnya pada awal pagi hari perlumbaan.

Beliau berkata, Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II akan menjadi lokasi pelepasan bagi keempat-empat kategori perlumbaan, manakala Koridor Chuang ditetapkan sebagai lokasi penamat.

Acara yang dijadualkan bermula tengah malam itu menyaksikan pelepasan kategori maraton penuh sejauh 42 kilometer (km), diikuti separuh maraton 21km pada 3.00 pagi, larian kompetitif 10km pada 4.30 pagi dan larian santai 3km pada 6.00 pagi.

Michael berkata, seramai 4,160 peserta dari 14 negara telah mendaftar untuk menyertai maraton anjuran Rimbunan Sawit Berhad (RSB) dengan kerjasama Pasukan Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu.

LALUAN bagi kategori separuh maraton sejauh 21km dan maraton penuh sejauh 42km yang bakal disertai peserta pada Maraton Antarabangsa RSAWIT 2026.

Daripada jumlah itu, seramai 4,096 peserta merupakan rakyat Malaysia, termasuk 3,666 dari Sarawak, manakala Kenya merekodkan penyertaan antarabangsa tertinggi dengan 29 peserta.

“Kami amat teruja dengan sambutan antarabangsa yang diterima meskipun berdepan peningkatan harga bahan api yang menyebabkan tambang penerbangan lebih mahal serta kebimbangan berkaitan jerebu,” katanya.

Menurutnya, sambutan itu turut memperlihatkan potensi Sibu sebagai destinasi pelancongan sukan, selain membuka peluang kepada komuniti larian tempatan untuk bersaing dengan peserta antarabangsa.

Penganjuran tahun ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM261,000, termasuk hadiah utama sehingga RM10,000 bagi kategori Antarabangsa Terbuka 42km.

Michael berharap penganjuran acara berkenaan bukan sahaja dapat menggalakkan gaya hidup sihat dan pembangunan sukan tempatan, malah terus memperkukuh kedudukan Sibu sebagaidestinasi pelancongan sukan.

Oleh Tarani Lanting