
KUALA LUMPUR: Sekatan akses platform media sosial kepada individu di bawah usia 16 tahun disifatkan sebagai ‘perisai digital’ yang kritikal dan proaktif dalam mendepani ancaman jenayah siber terhadap kanak-kanak di negara ini.
Langkah itu dilihat semakin mendesak susulan pendedahan mengejut dalam Ops Cyber Guardian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini, yang menemukan ratusan ribu fail bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Operasi besar-besaran itu bukan sahaja membawa kepada penahanan 69 individu termasuk penjawat awam, malah menyaksikan rampasan hampir 500,000 fail eksploitasi seksual, sekali gus mencetuskan kebimbangan mendalam mengenai tahap keselamatan maruah kanak-kanak di ruang maya.
Bagi memastikan keberkesanan sekatan itu, Pakar Keselamatan Siber dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Siti Norul Huda Sheikh Abdullah berkata, sistem pengesahan umur perlu diberi perhatian kerana ia berfungsi sebagai benteng pertahanan awal bagi menyekat ruang gerak pemangsa siber.
“Pengesahan umur sebagai benteng pertama dianggap sebagai usaha berkesan kerana ia dapat menyekat akses pemangsa daripada terus berhubung dengan kanak-kanak di ruang terbuka media sosial melalui sistem pengesahan umur bawah 16 tahun.
“Mekanisme tapisan umur ini juga boleh menyukarkan akaun rawak, sekali gus mengurangkan pendedahan awal kepada pintu masuk jenayah siber termasuk pengantunan siber,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Siti Norul Huda berkata, integrasi teknologi seperti elektronik Kenali Pelanggan Anda (e-KYC) dan identiti digital berupaya meminimumkan kewujudan akaun palsu, yang sering menjadi topeng bagi pelaku jenayah menyembunyikan identiti sebenar mereka.
Beliau berkata, penggunaan sistem itu secara tidak langsung membolehkan sebarang aktiviti mencurigakan termasuk pengantunan siber dikesan dengan lebih pantas oleh pihak berkuasa mahupun penyedia platform.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Akademia Keselamatan Siber berkata pendekatan pencegahan awal melalui sistem pengesahan umur berpusat seperti MyDigital ID lebih berkesan kerana mampu menghalang interaksi toksik berbahaya sejak peringkat awal berbanding tindakan selepas eksploitasi berlaku.
Selain itu, beliau berkata, keselamatan digital kanak-kanak perlu digalas secara bersama melalui konsep tanggungjawab bersama antara penyedia perkhidmatan, pengguna dan pihak berkuasa.
Siti Norul Huda berkata, penguatkuasaan sistem itu mampu memperkukuh pelaksanaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dengan menyediakan jejak digital yang lebih kukuh bagi tujuan siasatan dan pendakwaan.
Beliau berkata, langkah itu membantu menutup jurang pembuktian yang sering menjadi kekangan dalam siasatan sebelum ini, selain membolehkan PDRM menjejak akaun dengan identiti sah serta menjalankan risikan siber secara lebih strategik.
Menurut Siti Norul Huda, inisiatif itu juga selari dengan piawaian keselamatan antarabangsa seperti NIST IR 8525 dan ISO/IEC 27566-1:2025 yang menekankan perlindungan privasi serta keselamatan data pengguna.
“Ia membolehkan penggunaan kaedah pengesanan komunikasi toksik dan profil tingkah laku sebagai benteng tambahan dalam mengesan aktiviti pengantunan siber,” katanya.
Pada 31 Mac lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan meneruskan usaha mengehadkan pembukaan akaun media sosial baharu bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dengan pelaksanaannya dijangka seawal pertengahan tahun ini.
Terdahulu, pada 7 Mac, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti pelbagai kaedah pengesahan umur sebelum pelaksanaan had usia 16 tahun bagi penggunaan media sosial. – Bernama