TAHNIAH… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyemat Pingat Perkhidmatan Setia kepada Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi dari JPSS yang telah berkhidmat selama 32 tahun pada majlis Anugerah Pingat Perkhidmatan Setia di Limbang.
LIMBANG: Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (JPSS), Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi mengetuai senarai 160 penerima Anugerah Pingat Perkhidmatan Setia di sini, semalam.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Penyampaian Anugerah Pingat Perkhidmatan Setia itu bagi Bahagian Limbang.
Ahmad Denney berkhidmat dengan penuh taat setia selama 32 tahun.
Turut menerima anugerah sama ialah Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said yang berkhidmat selama 29 tahun dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok yang berbakti selama 26 tahun.
Selain itu, Aslan Awang Abdullah dari Jabatan Tanah Dan Survei merupakan penerima yang berkhidmat dengan penuh taat setia dan dedikasi selama 40 tahun, diikuti Alias Latif dari Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, yang berkhidmat 39 tahun dan Peter Vyner Lawan dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang berbakti selama 39 tahun.
Penerima mewakili 11 jabatan dan agensi kerajaan menerima Anugerah Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Limbang termasuk lapan agensi dan jabatan kerajaan adalah di bawah Kerajaan Negeri, manakala tiga Persekutuan.
Pada majlis itu, penerima pingat terdiri daripada pegawai daripada jabatan dan agensi termasuk Jabatan Kerja Raya, Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Petanian Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan agensi lain.
Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia ini merupakan kali ketiga diadakan tahun ini, bagi memberi penghargaan kepada anggota perkhidmatan awam Negeri dan Persekutuan atas perkhidmatan yang berkualiti serta berintergriti sepanjang tempoh perkhidmatan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Residen Limbang Sebi Abang.
Oleh ADENG EDRUS