
SIBU: Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), hari ini.
Dalam pada itu, Dr Cassidy menyifatkan pelantikan itu sebagai cabaran baharu dan menarik dalam peranannya sebagai peneraju dalam industri pembinaan di Sarawak.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pelantikan ini. JKR Sarawak ialah agensi pelaksana utama projek di negeri ini. Jadi, sebagai Profesor Adjung di UTS, saya melihat diri saya sebagai jambatan antara industri dan akademik.
“Saya benar-benar berbangga dengan pelantikan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk menghubungkan kedua-duanya – realiti dan teori,” katanya kepada pemberita pada majlis pelantikan dan ceramah motivasi yang diadakan di Dewan Canselor Tun Taib, UTS, hari ini.
Beliau berkata, walaupun universiti lebih cenderung menumpukan kepada teori, industri ini tertumpu kepada aplikasi dunia sebenar.
“Dengan cara ini, pelajar boleh mula membayangkan bagaimana dunia pekerjaan. Ia mungkin tidak sejajar dengan apa yang sedang mereka pelajari, tetapi realitinya datang daripada kami.
“Sebagai Profesor Adjung, saya akan cuba membantu pelajar lebih memahami apa yang berlaku dalam industri. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UTS atas pelantikan ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UTS, Profesor Dr Mohammad Shahril Osman berkata, pelantikan itu bertujuan untuk memberikan peluang kepada para pelajar melibatkan diri dengan profesor tambahan seperti Dr Cassidy.
“Melalui pelantikan ini, pelajar akan didedahkan dengan keperluan industri dalam bidang kejuruteraan awam, serta perkara berkaitan JKR Sarawak,” katanya.
Oleh Akun Giman