SIMANGGANG: Seorang penganggur semalam dijatuhkan hukuman denda RM1,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah ingkar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.
Vincent Chua Ah Peng, 39, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Maris Agan.
Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, pada sekatan jalan raya Ops Covid-19 di Pekan Lubok Antu.
Vincent Chua yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.30 malam, 28 Mac (Sabtu) lalu.
Tertuduh yang merayu diringankan hukuman memberitahu mahkamah, dia merupakan ketua keluarga yang masih menyara ibu dan ahli keluarganya yang lain di Kampung Kutai, Lubok Antu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tindakan tertuduh yang tidak mematuhi arahan PKP itu boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam.
Maris menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 terhadap tertuduh dan memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Vincent Chua menjadi individu pertama di Bahagian Sri Aman yang disabitkan kesalahan melanggar arahan PKP semenjak ia mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.