SPAOH: Agropark Bebuling bernilai RM88 juta kini memasuki fasa baharu apabila empat operator dimuktamadkan untuk mengusahakan pelbagai aktiviti pertanian moden di kawasan seluas 250 hektar itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembangunan agropark berkenaan dirangka sebagai ladang bersepadu berskala komersial bagi mencapai ekonomi skala, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta memperluas akses ke pasaran domestik dan antarabangsa.
Menurutnya, empat operator berkenaan akan mengusahakan sembilan plot dengan aktiviti pertanian yang dipelbagaikan mengikut potensi dan permintaan pasaran.
Lotus Farm Agritech Sdn Bhd mengusahakan Plot 1 dan 2 bagi aktiviti rumah hijau serta pertanian terbuka melibatkan tanaman ubi keledek, jagung dan betik.
Carus Group Ltd pula mengendalikan Plot 3 dan 4 untuk penanaman kelapa, manakala Thian Yen Aquaculture Sdn Bhd mengusahakan Plot 5 hingga 8 yang melibatkan aktiviti akuakultur seperti udang kara dan udang, selain tanaman teratai, buluh dan halia.
Plot 9 pula akan diusahakan Emma Industries Sdn Bhd dan UGlobal Solutions bagi aktiviti pertanian dalam bangunan dengan tumpuan kepada tanaman sayuran berdaun.
Uggah berkata, pembangunan Agropark Bebuling dan Agropark Lubok Tamang memperlihatkan pendekatan baharu dalam memperkukuh sektor pertanian menerusi penggunaan teknologi, amalan pertanian terbaik dan pengurusan operasi yang lebih sistematik.

“Kita mahu mempelbagaikan pertanian daripada tanaman tradisional kepada tanaman baharu yang mempunyai pasaran dan nilai lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, diiringi Uggah, meninjau perkembangan Agropark Bebuling di sini, semalam.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, masyarakat Betong sejak sekian lama mengusahakan tanaman tradisional seperti lada, getah dan kelapa sawit, namun kepelbagaian sumber pendapatan melalui tanaman baharu perlu diberi perhatian.
Katanya, pembangunan sektor pertanian juga perlu bergerak seiring dengan pembinaan rantaian bekalan yang lengkap bagi memastikan hasil pertanian dapat dikendalikan secara lebih tersusun sebelum dipasarkan.
“Pertanian bukan lagi sekadar tanam, tuai dan jual. Kita mahu membina ekosistem rantaian bekalan lengkap – daripada input, pengeluaran, pengumpulan, pembungkusan, pemprosesan dan pemasaran sehingga kepada pengguna,” katanya.
Pendekatan itu turut disokong pembangunan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Spaoh dan CPPC Layar yang berperanan menghubungkan pengeluar serta usahawan tempatan dengan pasaran lebih luas.
Pembangunan Agropark Bebuling sekali gus menjadi antara inisiatif penting dalam usaha memperkukuh sektor pertanian Betong menerusi pengeluaran moden, pengurusan sistematik, kepelbagaian tanaman serta pembukaan peluang pasaran baharu.
Oleh Adi Safarman




