SPAOH: Penduduk Kampung Medang di sini gempar pagi tadi apabila seekor buaya sepanjang 2.1 meter ditemui tersangkut pada jaring di sebuah kolam ikan milik penduduk.
Kejadian itu disedari sebelum Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengadu pada 8.55 pagi.
Susulan laporan tersebut, seramai empat anggota Skuad Alpha APM Spaoh diketuai Sarjan Hasla Deli segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap haiwan liar berkenaan.
Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati reptilia terbabit benar-benar terperangkap pada jaring yang dipasang di kawasan kolam ikan.
Buaya berkenaan dianggarkan seberat kira-kira 40 kilogram dan dipercayai cuba menceroboh kolam berkenaan sebelum pergerakannya terhalang selepas tersangkut pada jaring.

Situasi itu turut mengundang kebimbangan penduduk berikutan kehadiran reptilia berkenaan berhampiran kawasan aktiviti manusia.
Bertindak pantas, anggota APM menggunakan peralatan khas penjerut bagi mengawal dan menundukkan buaya tersebut dengan selamat.
Operasi menangkap reptilia berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.
Buaya terbabit kemudian berjaya diamankan sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Spaoh untuk tindakan dan koordinasi selanjutnya bersama pihak berkuasa berkaitan.
APM turut mengingatkan orang awam supaya tidak menghampiri atau cuba menangkap sendiri haiwan liar, sebaliknya segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian seumpama itu.
Orang ramai yang berdepan kecemasan boleh menghubungi APM Spaoh di talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman





