
KUCHING: Pengambilalihan sepenuhnya Empangan Hidroelektrik Bakun oleh kerajaan Sarawak bukan sekadar kejayaan pengurusan aset strategik, malah menjadi bukti nyata kemajuan dalam pelaksanaan hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan bahawa pemilikan penuh ke atas empangan hidroelektrik terbesar di Malaysia itu memberikan kuasa mutlak kepada negeri untuk menentukan dasar tenaga, pengagihan bekalan, dan kadar tarif mengikut keperluan pembangunan semasa.
“Hari ini, Empangan Bakun adalah hak milik Sarawak sepenuhnya. Selepas pengambilalihan ini, kita mempunyai kebebasan untuk menentukan dasar tenaga dan mengurus aset strategik demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri,” jelas beliau semasa berucap pada majlis Makan Malam Gala Gawai-Kaamatan Bersama Ke-17 di Kompleks UNIFOR, malam tadi.
Menurut beliau, kuasa penuh ke atas aset tersebut membolehkan Sarawak merancang sektor tenaga secara lebih strategik.


Ini termasuk usaha memperkukuh bekalan tenaga hijau serta menarik pelaburan berskala besar yang berintensifkan tenaga, sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi negeri di persada antarabangsa.
Kejayaan mendapatkan kembali aset strategik ini turut membuktikan bahawa rundingan berterusan antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan mampu menghasilkan penyelesaian yang mengiktiraf hak serta kepentingan negeri secara adil.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perjuangan autonomi Sarawak mesti terus seiring dengan pelaksanaan penuh hak-hak negeri di bawah MA63.
Sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia, beliau berpendapat bahawa Sarawak dan Sabah perlu mempunyai pendekatan bersama dalam memastikan setiap hak yang terkandung dalam perjanjian tersebut dilaksanakan sepenuhnya.
Justeru, kerjasama erat antara Sarawak dan Sabah perlu diperkukuhkan, bukan sahaja di peringkat kerajaan, malah menerusi jaringan komuniti perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan Dusun (KCCI).
Pendekatan ini dianggap penting dalam memperjuangkan kepentingan bersama dalam pelbagai sektor, termasuk pembangunan ekonomi, tenaga, perdagangan karbon, dan pengurusan sumber strategik.
Beliau menambah, langkah strategik ini akan mengukuhkan kedudukan kedua-dua wilayah sebagai rakan yang setara dalam Persekutuan Malaysia, di samping memastikan hasil daripada sumber asli dapat dinikmati secara lebih adil oleh rakyat.
Kejayaan pengurusan Empangan Bakun kini menjadi penanda aras bahawa tuntutan hak negeri mampu diterjemahkan kepada pencapaian nyata yang memberi manfaat langsung kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Sebagai penutup, beliau menggesa agar Sarawak dan Sabah terus mempererat hubungan sebagai ‘negeri bersaudara’ dalam memperjuangkan pelaksanaan MA63. Ini penting supaya kedua-dua wilayah dapat terus memainkan peranan sebagai pemacu utama pembangunan Malaysia pada masa hadapan.
Oleh Shikin Mahmud