
KOTA SAMARAHAN: Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata pihaknya berharap Geran Peruntukan Khas Ahli Parlimen berjumlah RM600,000 dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada penerima dalam melaksanakan program di kawasan masing-masing.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan menggesa agar dana yang disalurkan oleh kerajaan digunakan dengan sebaik mungkin demi kebaikan dan masa depan persatuan serta memberi manfaat kepada rakyat.
“Peruntukan ini bertujuan menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti serta program yang dapat meningkatkan penglibatan masyarakat setempat.
“Kita harap dengan adanya peruntukan ini dapat memberi kemudahan dan keselesaan dalam menjalankan program di kawasan masing-masing.
“Gunakan dana yang disalurkan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin demi kebaikan dan masa depan persatuan serta manfaat kepada rakyat,” ujarnya pada majlis Penyerahan Geran Peruntukan Khas Ahli Parlimen P.197 Kota Samarahan di Bilik Kegiatan, Dewan Suarah Kota Samarahan, semalam.
Katanya, pemberian geran tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat, terutamanya organisasi tempatan yang memerlukan sokongan dana untuk melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan.
Tambahnya, penyerahan itu merupakan fasa pertama bagi tahun ini, dan pihaknya komited untuk terus menyokong organisasi setempat dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.
Beliau turut mengingatkan semua penerima agar menggunakan dana tersebut secara telus dan berintegriti serta mematuhi tujuan asal permohonan
Sebanyak 63 organisasi yang terdiri daripada kelab, persatuan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Parlimen Kota Samarahan telah menerima geran tersebut.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat; Penolong Pegawai Daerah Samarahan, Hayati Sahari serta Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang. – UKAS