
MIRI: Walaupun penerbitan surat khabar semakin berkurangan, namun peranan wartawan tetap penting dalam menyampaikan laporan yang sahih dan bermaklumat demi meningkatkan pemahaman pembaca serta masyarakat.
Dalam dunia yang bergerak pantas dan dipenuhi pelbagai pandangan ketika ini, kewartawanan profesional amat diperlukan.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata demikian ketika merasmikan majlis makan malam gala sempena sambutan ulang tahun ke 50 penubuhan Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) malam tadi.
Katanya, kewartawanan masih relevan dalam era digital, peranan wartawan diperlukan untuk mengawal penyebaran maklumat palsu dan salah yang tular di media sosial.

“Ada yang mengatakan surat khabar semakin lenyap, kewartawanan tidak lagi relevan dalam era digital. Saya dengan hormat tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.
“Media bukan sahaja melaporkan tetapi juga mengesahkan, menjelaskan, memperbetulkan kekeliruan serta membimbing dengan maklumat dan fakta yang benar.
“Peranan anda hari ini lebih daripada sekadar untuk memaklumkan. Ia adalah untuk membantu masyarakat memahami dunia yang kompleks dan membantu orang ramai membezakan antara kebenaran dan fiksyen,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menambah, para wartawan (media) selain melaporkan peristiwa harian, mereka berperanan dalam menyampaikan dasar kerajaan, keputusan dan perkhidmatan awam yang secara langsung mempengaruhi kehidupan rakyat.
“Media berfungsi sebagai jambatan penting antara rakyat dan kerajaan, di Sarawak, media berperanan dalam meningkatkan kesedaran awam tentang inisiatif berpusatkan rakyat.
“Namun, program berimpak seperti projek kerajaan hanya boleh berjaya jika orang ramai benar-benar memahaminya.
“Dalam keprofesionalan media, anda memainkan peranan penting dalam menyampaikan visi ini menterjemahkan dasar ke dalam pemahaman awam dan mengubah aspirasi menjadi tujuan bersama,” jelasnya lagi.
Pada majlis itu, Lee telah penyampaian anugerah kepada bekas Presiden NSJA dan Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA), turut menyampaikan anugerah tanda menghargai wartawan yang telah lama berkhidmat dari tempoh 10 sehingga lebih 30 tahun.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man, ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau, Presiden FSJA Ronnie Teo, Presiden NSJA Chai Choon Chin dan Pengerusi Penganjur Clare Cinderella.
Oleh Adum Liu