KUCHING: Penubuhan syarikat penerbangan tempatan berpotensi menjadi pemangkin untuk melonjak industri sektor pelancongan di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penubuhan syarikat penerbangan sendiri akan memudahkan kemasukan pelancong ke Sarawak.
Katanya, antara faktor yang menjejaskan industri pelancongan selama ini adalah kekurangan penerbangan terutama bagi penerbangan kemasukan terus ke negeri ini.
“Kita menghadapi masalah sedikit untuk membawa pelancong masuk. Kita tahu, ramai yang mahu ke sini (Sarawak) tetapi perlu melalui Singapura, Kuala Lumpur dan sebagainya.
“Ramai mahu penerbangan secara terus ke negeri ini dan Alhamdulilah sekiranya sudah memiliki syarikat penerbangan tersendiri, kita akan lebih mudah untuk membawa pelancong masuk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Bangunan Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak di Jalan Bako di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Karim berkata, Kerajaan Sarawak sememangnya berusaha untuk mewujudkan syarikat penerbangan sendiri.
“Perkara tersebut sudah dimaklumkan oleh Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) manakala untuk pengumuman yang lebih besar, kita perlu menunggu beliau (Abang Johari) sendiri yang umumkan,” katanya.
Semalam Abang Johari mengumumkan Kerajaan Sarawak kini hanya menunggu lesen yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi membolehkan syarikat penerbangan butik miliknya memulakan operasi.
Aspek pengoperasian syarikat penerbangan itu sudah dimuktamadkan dengan bermatlamat untuk membolehkan kemasukan pelancong secara terus ke negeri berkenaan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA