GEDONG: Penantian untuk menikmati bekalan air terawat dan bersih bagi penduduk di Zon Pangkor kini berakhir dengan siapnya projek menaik taraf bekalan air yang dilancarkan di sini semalam.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek naik taraf bekalan air bernilai RM45 juta itu meliputi kampung-kampung di kawasan Zon Pangkor.
Katanya, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah diarahkan untuk membekalkan air terawat ke kampung-kampung di kawasan Samarahan, Simunjan termasuklah Gedong selepas mendapati bahawa terdapat keadaan mendesak untuk keperluan air terawat di kawasan tersebut.
“Dua tahun lepas saya telah mengarahkan supaya JBALB membuat kajian mengenai bekalan air di kawasan Samarahan dan di Kawasan Simunjan dan ia juga termasuk kampung di persekitaran Lubok Punggor ini.
“Pihak JBALB menggunakan tangki air aras tinggi kerana tekanan air yang kuat diperlukan bagi menyalurkan bekalan air terawat dari Kuching ke kawasan Lubok Punggor.
“Air dari Kuching akan digunakan oleh itu adik kakak di kampung Bangka Semong, Kampung Lubok Punggor, Lubok Buntin, Tanjung Sap dan Kampung Benat Hilir di Gedong, Bahagian Samarahan, semua kampung ini mendapat bekalan air yang terawat selain daripada bekalan air,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Air Luar Bandar Kampung Lubok Punggor di Gedong, semalam.
Ketika ditanya mengenai pelaksanaan projek tersebut, Abang Johari berkata, projek tersebut telah berjalan dua tahun lepas bagi menyalurkan saluran bekalan air dengan menggunakan grid daripada Kuching.
“Sungai sekarang ini sukar untuk dirawat jadi kita bekalkan bekalan air dari Kuching.
“Oleh itu, kita tingkatkan bekalan sumber di Kuching iaitu di Empangan Bengoh dan juga Sungai Sarawak kiri di mana airnya terus dihantar ke kawasan Samarahan, Simunjan sehingga ke Sebuyau dengan satu grid,” katanya.
Tambahnya lagi, kebanyakan daripada kampung di kawasan luar bandar sekitar pesisir Sarawak meliputi Samarahan, Simunjan dan Sebuyau sudah mendapat bekalan air bersih dan terawat yang stabil.
Turut hadir adalah mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Naroden Majais.
Oleh JEAKQLEYN YACHO