MARUDI : Cadangan kerajaan untuk menubuhkan cawangan Bank Rakyat di kawasan luar bandar mendapat sokongan padu penduduk di sini.
Ketua Kampung Pemindahan, Azman Galau ketika ditemui menyambut baik cadangan tersebut kerana ia sangat diperlukan oleh penduduk di kawasan yang tiada bank untuk menguruskan kewangan mereka.
Katanya sebagai misalan di Long Lama, sebuah bank perlu diwujudkan di pekan itu kerana mempunyai penduduk yang ramai dan dengan mempunyai bank akan memudahkan mereka menguruskan kewangan masing-masing seperti mengeluar atau menyimpan.
Jika ada bank di Long Lama, mereka tidak perlu lagi ke Miri atau Marudi yang membebankan dari segi kos pengangkutan dan penginapan, katanya.
Bagi Ketua Kampung Benawa, Hasbie Sulaiman, cadangan kerajaan untuk mengwujudkan institusi kewangan di pedalaman amat dialukan dan sebagai langkah yang bijak.
“Ini kerana penduduk di luar bandar amat memerlukan cawangan bank di kawasan mereka dan sekiranya diwujudkan maka mereka tidak bersusah payah ke bandar yang jauh dan ini memerlukan masa lama untuk sampai ke destinasi,” katanya.
“Saya sudah lama mohon dan mencadangkan agar sebuah bank diwujudkan di Long Lama memandangkan ramai penduduk di daerah ini amat memerlukannya untuk menguruskan kewangan mereka,” kata Ketua Masyarakat Kaum Cina daerah Telang Usan, Desmond Yap Cheng Sng.
Menurut Desmond, beliau amat mengalukan cadangan kerajaan supaya Bank Rakyat diwujudkan di kawasan pedalaman dan berharap kerajaan dapat merealisasikan cadangan itu terutama di Long Lama yang sudah lama kehausan sebuah institusi kewangan.
Katanya kalau ada sebuah bank di Long Lama mudah untuk mereka menguruskan kewangan baik menyimpan atau mengeluarkan wang dan tidak perlu lagi ke bandar Miri atau ke Marudi.
Oleh Jiku Juguong