KUCHING: Penduduk di kawasan Agropolitan Seduku dan Stumbin Bijat dekat Simanggang kini menikmati bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air Agropolitan Seduku dan Loji Rawatan Air Stumbin Bijat.
Kementerian Utiliti dalam satu kenyataan media semalam memaklumkan atas perancangan rapi dan teliti oleh Kerajaan Sarawak, kedua-dua buah loji tersebut kini disambung dan menerima bekalan air tambahan dari Loji Rawatan Air Bayai, Sri Aman.
“Ini adalah untuk memastikan penduduk setempat sentiasa mendapat bekalan air yang berkualiti secara berterusan.
“Projek pembinaan saluran paip baharu yang bernilai kira-kira RM1.4 juta itu siap dilaksanakan penghujung tahun 2019 dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
“Projek ini dilaksanakan oleh Kementerian Utiliti melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana bagi mengatasi isu gangguan bekalan air yang sering membelenggu penduduk di kawasan terbabit,” katanya.
Kenyataan itu menjelaskan skop projek melibatkan pemasangan saluran paip jenis ‘HDPE’ bersaiz 400mm sepanjang 2 kilometer di jajaran alternatif untuk menggantikan paip sedia ada di kawasan berlakunya hakisan tanah di tebingan Batang Lupar, Jalan Skait-Gran Ring.
“Dengan memainkan peranan yang aktif dan kerjasama antara Menteri Utiliti, Dato Sri Stephen Rundi Utom dan Ahli Dewan Undangan Negeri N.28 Lingga, Simoi Peri, yang komited untuk memastikan projek itu terlaksana antara faktor besar kejayaan projek bekalan air ini,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, pelaksanaan projek itu memberi manfaat kepada lebih kurang 7,500 pengguna di sekitar kawasan Agropolitan Seduku dan Stumbin Bijat sekali gus berjaya menangani masalah gangguan bekalan air di kawasan berkenaan.
“Usaha dalam mencapai matlamat dan visi untuk menyalurkan liputan bekalan air 100% menjelang tahun 2025, adalah menjadi tanggungjawab Kementerian yang diketuai Setiausaha Tetap, Dato Ir. Alice Jawan dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak yang diketuai oleh Pengarah, Ir. Chang Kuet Shian,” katanya.