

-Foto BBP Bintangor
PAKAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor terus memperkukuh usaha bagi meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan masyarakat dengan mengadakan sesi taklimat dan perkongsian ilmu bersama penghuni Rumah Giman, Batu 15 Engkemop, baru-baru ini.
Taklimat diadakan pada 1.00 petang itu disertai oleh 10 penghuni rumah panjang, yang dikendalikan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin bersama pegawai bomba, Mohd Fitrie Azman.
Beliau berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada penduduk mengenai langkah-langkah keselamatan kebakaran di premis kediaman, selain memastikan mereka bersedia menghadapi sebarang kecemasan.
“Kesedaran terhadap bahaya kebakaran amat penting, lebih-lebih lagi di kawasan rumah panjang yang mempunyai struktur kayu dan kedudukan rumah-rumah yang bersebelahan.
“Taklimat ini bukan sahaja memberi pengetahuan asas mengenai keselamatan kebakaran, tetapi juga melatih penghuni cara menggunakan alat pemadam api dengan betul,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada sesi perkongsian tersebut, peserta diberikan penerangan ringkas tentang kesedaran keselamatan kebakaran, selain didedahkan kepada penggunaan alat pemadam api jenis serbuk kering sebagai langkah awal mengawal kebakaran kecil sebelum bantuan bomba tiba.
“Saya berharap lebih banyak komuniti rumah panjang akan menyertai program seumpama ini bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan mengurangkan risiko kebakaran di kawasan kediaman,” katanya.
OLEH EARL ANEK