MIRI: Penduduk di bandar raya ini diseru memberi kerjasama yang erat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan dalam memelihara dan memastikan kebersihan sungai di paras optimum.
Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada pencemaran sesebuah sungai adalah berpunca daripada penduduk yang tinggal berhampiran sungai, pembangunan pesat dan aktiviti perindustrian serta aktiviti hiliran yang menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah.
“Sesungguhnya sebahagian daripada pencemaran sungai bermula dari kawasan rumah kita.
“Jika sampah sarap dibuang ke dalam parit di tepi rumah kita, ia akhirnya akan masuk ke dalam sungai dibawa aliran air dalam parit.
“Oleh itu, kita perlu bersama-sama menjaga kebersihan kawasan kediaman dan sungai kita agar aliran air tidak tersekat dan mengelak berlakunya bencana seperti banjir kilat.
“Harapan kita adalah agar suatu masa nanti kita akan dapat mewariskan sungai bersih, selamat dan indah kepada anak cucu kita,” katanya pada Program Kesedaran Awam Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Kampung Pujut Tanjung Batu di sini, semalam.
Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut menyarankan masyarakat supaya melaporkan segera kepada pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya berlaku pencemaran di sungai supaya tindakan pembendungan dan langkah pemuliharaan dapat dilaksanakan segera.
Sementara itu, program yang dianjurkan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS) merupakan satu inisiatif dan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak.
Antara objektif utamanya adalah untuk menanam dan meningkatkan kesedaran awam berkenaan kepentingan keselamatan pengangkutan sungai dan pemelihara kebersihan sungai serta persekitarannya.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena program itu termasuk gotong-royong mengutip sampah dan pertandingan mewarna, sesi ceramah LSSS, Jabatan Kesihatan Bahagian Miri dan Majlis Bandaraya Miri.
Turut hadir, Pengerusi LSSS, Dr. Murni Suhaili dan Ketua Kampung Pujut Tanjung Batu, Usman Suleiman.
Oleh Liong Chai Ling