KANOWIT: Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan banjir melalui hebahan radio, televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan serta Bilik Gerakan Banjir Negeri atau daerah yang berhampiran.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, penduduk harus memastikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dan Pusat Bantuan Bencana yang berdekatan.
“Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.
“Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau juga menasihatkan penduduk supaya berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.
“Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.
“Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
“Selalu dapatkan maklumat mengenai taburan hujan seperti akses kepada laman web Jabatan Meteorologi, Portal Bencana atau Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia,” katanya.
Sementara itu, hujan yang berterusan menyebabkan Jalan Lukut Penyulau dinaiki air dan sukar untuk dilalui oleh kenderaan.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sibu, Mej (PA) Wan Mohd Wan Mohd Badrudin berkata, hasil tinjauan pada 7.20 pagi tadi, mendapati jalan tersebut dinaiki air lebih kurang 0.30 meter dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat serta pacuan empat roda sahaja.
“Semasa tinjauan, paras air menunjukkan penurunan dan cuaca dalam keadaan baik. Keadaan di lokasi adalah terkawal,” katanya menerusi kenyataan, pagi tadi.
Oleh Akun Giman