KABONG: Lebih ramai penduduk terutamanya belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong digalakkan menyertai Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bagi mempersiapkan komuniti yang boleh memberi bantuan kecemasan awal segera ketika menghadapi apa jua bentuk bencana.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata mereka ini adalah petugas sukarelawan yang akan memberi pertolongan kecemasan pertama sebelum kehadiran pihak bomba di lokasi kejadian.
“Pasukan ini akan menjaga keselamatan dan kesejahteraan penduduk di peringkat akar umbi tanpa mengira keadaan iaitu boleh dikatakan ‘Wira yang tidak didendang’.
“Oleh itu, saya menyeru penduduk di kawasan Kabong terutamanya kepada mereka yang tinggal di kawasan berisiko seperti banjir dan tanah runtuh untuk menyertai pasukan ini bagi membantu menjaga keselamatan di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Randau bersama PBS Kabong di kediaman Penghulu Rahman @ Dom Kapok dekat Kampung Simpang Empat Kabong, hari ini.
Chee Kadir berkata pasukan itu lebih mudah melaksanakan tindakan awal dalam keadaan kecemasan sama ada kebakaran, banjir atau bencana alam lain kerana dianggotai oleh penduduk kampung atau rumah panjang itu sendiri.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bagi memastikan keberkesanan ketika menghadapi situasi kecemasan, pasukan berkenaan akan mendapat latihan yang akan dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sendiri.
“Oleh itu penubuhan PBS ini harus diperluaskan di kawasan DUN Kabong supaya warga masyarakat peka akan sesuatu perkara yang melibatkan bencana atau kemalangan.
“Sekali gus, sebagai alternatif mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda ketika bencana terutama kebakaran berlaku,” tambahnya.
Sementara itu, PBS Kabong telah ditubuhkan pada 2022 dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 2023.
Pada majlis tersebut, Chee Kadir menyerahkan geran khas kerajaan Sarawak kepada PBS Kabong berjumlah RM10,000 dan
Turut hadir Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Putra Ila; Penaung PBS Kabong, Penghulu Rahman @ Dom Kapok; Pengerusi PBS Kabong, Sajali Muhi dan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK), Ulin Tabur.