HENRY B SIYU
MUKAH: Penduduk Belawai akan disaring mulai hari Rabu berikutan satu kes covid-19 yang direkod di kawasan berkenaan baru-baru ini.
Ia didedah Residen Bahagian Mukah Hamdiah Bakir kepada media ketika diajukan soalan mengenai kes positif yang dikesan di Tanjung Manis berkenaan.
“Oh ya status Bahagian Mukah menjadi Zon Kuning berikutan satu kes positif di Daerah Tanjung Manis semalam oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPB Sarawak). Berikutan itu penduduk di kawasan Belawai akan disaringkan hari ini (27 Mei),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan juadah Hari Raya Aidilfitri 2020 kepada petugas-petugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Mukah(JBPM Mukah) pada hari Selasa (26 Mei).
“Saringan itu kelak akan diadakan di suatu tempat yang disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan orang ramai akan menjalankan saringan di sana. Dan bukan pergi rumah ke rumah. Ia akan bermula daripada esok(27 Mei) ,” tambahnya lagi.
Apabila ditanya mengenai keberadaan pelajar yang dikuarantin di Kem Belia Mukah dekat sini, Hamdiah menyatakan setakat ini ia telah melibatkan 26 pelajar.
“Mereka dikuarantin di sana selama 14 hari, dan kalau tak silap saya, pada hari ini cuma tinggal tiga orang sahaja lagi kerana selepas dua minggu itu, mereka dibenarkan untuk ke tempat masing-masing,” kata Hamdiah.
Dia juga menyatakan setakat ini ada sejumlah 286 pelajar asal Mukah yang datang dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan bahagian lain di negeri ini dan mereka telah dikuarantin di beberapa pusat kuarantin di negeri ini termasuk Sibu sebelum melanjutkan kuarantin di rumah masing-masing.
“Justeru itu, nasihat saya kepada pelajar-pelajar ini supaya sentiasa patuh pada arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kepada mereka. Seperti jangan keluar semasa tempoh tersebut. Mereka diminta untuk terus berada di rumah. Sekiranya berada di tempat awam, mereka akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa,” tambahnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah(JPBB Mukah), menasihati orang ramai untuk sentiasa mematuhi perkara-perkara yang termaktub dalam Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dan PKPB .
“Dan oleh kerana kita kini masih dalam musim Hari Raya Aidilfitri, pastikan apa yang termaktub dalam PKPB itu harus dipatuhi dari masa ke semasa. Dan begitu juga pada Gawai Dayak akan datang,” katanya.
Pada program lawatan yang dikenali sebagai ‘Jalan Briefly dan Hantar Juadah Raya’ kepada petugas ‘frontliners’ pada hari tersebut, beliau kelihatan ditemani oleh Pegawai Daerah Mukah, Shafrie Saili dan beberapa pegawai daripada Pejabat Residen Mukah.
Kedatangan mereka di JBPM Mukah di sambut oleh Ketua Balai BBP Mukah, Azman Hanapis, dan anggota-anggota bomba yang bertugas pada hari itu.
Selain Bomba Mukah, rombongan tersebut juga ke IPD Mukah, RELA, APM dan Pejabat Kesihatan Daerah Mukah.