
MIRI: Masalah kerosakan sistem pendingin hawa berpusat di Klinik Kesihatan (KK) Bandaraya Miri yang berlarutan sejak September tahun lalu digesa diselesaikan segera bagi menjamin keselesaan pesakit serta kakitangan kesihatan.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, isu itu perlu diberi perhatian serius susulan keadaan cuaca panas yang menjejaskan keselesaan orang awam mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.
Menurutnya, lawatan ke klinik tersebut dilakukan selepas menerima aduan orang ramai mengenai kerosakan sistem berpusat yang masih belum dibaik pulih sepenuhnya.
“Pejabat Kesihatan Bahagian Miri telah mengambil tindakan proaktif dengan melantik kontraktor pakar untuk menjalankan analisis teknikal secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kerosakan.
“Langkah ini penting supaya pembaikan yang dilakukan lebih tepat dan mengelakkan kerosakan berulang,” katanya.
Laporan penilaian teknikal diterima pada penghujung Mac lalu sebelum pihak PKB Miri bersama Jabatan Kesihatan Sarawak mengemukakan permohonan perubahan skop kerja kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Ekonomi.
Sementara menunggu kelulusan, pelbagai langkah sementara telah diambil sejak Oktober 2025 termasuk penempatan tujuh unit kipas penyejuk udara berkapasiti 130 liter serta 24 unit kipas penyejuk udara bersaiz kecil di ruang menunggu dan bilik rawatan.
Dalam perkembangan sama, sebuah syarikat kontraktor pendingin hawa tempatan turut tampil menawarkan pembaikan sementara secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) tanpa kos kepada kerajaan.
Cadangan tersebut melibatkan kerja pengisian gas dan pembaikan kebocoran sistem sementara menunggu proses baik pulih menyeluruh dilaksanakan.
Pegawai Kesihatan Bahagian Miri, Dr P. Raviwharmman Packierisamy berkata, memorandum cadangan itu akan dikemukakan kepada Cawangan Kejuruteraan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak untuk penilaian teknikal lanjut.
“Sekiranya cadangan ini berwibawa dan memenuhi aspek teknikal, PKB Miri komited membantu pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa,” katanya.
Lee turut merakamkan penghargaan kepada syarikat tempatan terbabit atas keprihatinan mereka serta memuji komitmen petugas kesihatan yang terus berkhidmat walaupun berdepan kekangan fasiliti.
Oleh Liong Chai Ling