
SARATOK: Pendidikan Tingkatan Enam terus diperkasa sebagai laluan premium bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melangkah ke menara gading, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh pendidikan pasca menengah di negara ini.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, laluan Tingkatan Enam melalui Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bukan sahaja setaraf dengan program diploma dan matrikulasi, malah memiliki pengiktirafan tinggi di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan kunjungan bantu ke Kolej Tingkatan Enam Saratok (KTES) dalam usaha memperkukuh kecemerlangan pendidikan Tingkatan Enam di negeri ini, semalam.

Menurut beliau, pelajar lepasan SPM perlu melihat Tingkatan Enam sebagai satu pilihan strategik yang mampu membuka peluang luas ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
“STPM merupakan satu laluan yang berkualiti tinggi dan diiktiraf di peringkat global. Ia bukan sahaja membentuk keupayaan akademik, malah mengasah kemahiran berfikir aras tinggi serta daya saing pelajar,” katanya.
Lawatan tersebut turut disertai oleh Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Awet Gapor serta Penolong Pengarah Unit Menengah dan Tingkatan Enam, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Jasmine Hayward.

Dalam amanatnya, Omar turut menyentuh aspirasi dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada pemerkasaan pendidikan pasca menengah termasuk Tingkatan Enam.
Menurut beliau, fokus utama merangkumi penambahbaikan kurikulum, pengukuhan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), serta peningkatan kebolehpasaran pelajar agar lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Pendekatan ini diyakini mampu melahirkan generasi pelajar yang kompetitif, holistik dan berdaya tahan dalam menghadapi dunia pendidikan tinggi serta kerjaya,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengetua KTES dalam pembentangannya memaklumkan bahawa pencapaian akademik kolej menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, khususnya dalam keputusan STPM.
Katanya, peningkatan Nilai Gred Purata Sekolah (GPS) menjadi indikator jelas terhadap komitmen tinggi warga pendidik dan pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik.
Lawatan kunjung bantu ini memperlihatkan keprihatinan kepimpinan pendidikan negeri dalam memastikan kualiti pendidikan Tingkatan Enam terus diperkukuh, seiring dengan agenda transformasi pendidikan negara.
Usaha berterusan ini diharap dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap Tingkatan Enam sebagai laluan utama yang berkualiti dan berprestij untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Oleh Adi Safarman