TATAU: Pendidikan adalah elemen penting dalam pembangunan individu dan masyarakat, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup keluarga.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, pendidikan merupakan aset penting bagi masa depan, serta alat untuk membebaskan keluarga daripada belenggu kemiskinan.
Justeru, tegas beliau, peranan pendidikan dalam kehidupan anak-anak amat penting, demi mencipta masa depan yang cerah untuk mereka.
“Pendidikan adalah legasi untuk masa depan dan ia mampu mengubah kehidupan untuk menjadi lebih baik,” katanya pada majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau yang berlangsung di Dewan SK Tatau di sini, semalam.
Tambah beliau, tanggungjawab pendidikan anak-anak bukan terletak hanya di bahu ibu, tetapi kedua-dua ibu bapa harus memainkan peranan yang aktif.
Dalam ucapannya, Dato Sri John Sikie turut menyentuh isu ponteng sekolah yang sering dibangkitkan oleh pihak sekolah.
“Masalah ponteng perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh mengganggu proses pembelajaran pelajar,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa Sarawak sedang giat membangun dan memerlukan banyak tenaga kerja mahir untuk mencapai kemajuan menjelang 2030.
“Kerajaan Sarawak berharap untuk melihat negeri ini maju dengan generasi yang berpendidikan dan berkemahiran.
“Kami juga berharap anak-anak kita memilih bidang yang mempunyai prospek pekerjaan yang baik,” ujarnya.
Majlis itu turut menyaksikan pemberian hadiah dan sijil kecemerlangan kepada murid-murid dari darjah satu hingga enam.
Selain itu, hadiah khas turut diberikan kepada murid yang dianugerahkan sebagai Murid Terbaik Pra Sekolah, Terbaik Akademik 2024, serta Terbaik Sahsiah dan Kemenjadian Murid 2024.
Acara kemuncak pada majlis tersebut adalah penyampaian Anugerah Tokoh Murid kepada Hertzellya Beremas Edja Koleh, yang turut menerima piala, sijil, dan wang tunai RM2,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus itu.
Hertzellya Beremas berjaya mengharumkan nama sekolah hingga ke peringkat kebangsaan dan terpilih untuk melanjutkan pelajaran di Yayasan Sarawak International Secondary School, hasil usaha gigih dan bimbingan guru-guru SK Tatau.
Dato Sri John Sikie turut mengumumkan bantuan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tatau bagi menyokong aktiviti dan pembangunan sekolah.
Oleh Carolyne Utih