
MIRI: Masalah gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku di Tabika Perpaduan Permyjaya di sini kini berjaya diatasi selepas kerja-kerja pendawaian elektrik baharu di bangunan tersebut siap dilaksanakan baru-baru ini.
Projek penambahbaikan itu melibatkan penggantian sistem pendawaian lama yang telah rosak dan sering menyebabkan gangguan bekalan elektrik serta keadaan ‘trip’ di seluruh bangunan, sekali gus menjejaskan operasi harian tabika.
Majlis penyerahan tapak projek siap itu disaksikan wakil Pusat Khidmat Parlimen Miri yang mewakili Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, bersama wakil Unit Pembangunan Sarawak Bahagian Miri dan pihak kontraktor yang terlibat.
Chiew berkata, walaupun projek berkenaan berskala kecil, ia memberi impak besar kepada aspek keselamatan dan keselesaan pengguna, khususnya kanak-kanak serta tenaga pengajar di tabika berkenaan.
“Pendawaian elektrik yang selamat dan berfungsi dengan baik amat penting bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta mengelakkan sebarang risiko yang boleh menjejaskan keselamatan penghuni bangunan.
“Kita mahu memastikan kemudahan asas seperti ini sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Tadika Perpaduan memainkan peranan penting sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak di samping menjadi platform memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Sehubungan itu, katanya, aspek keselamatan dan keselesaan infrastruktur perlu sentiasa diberi perhatian agar proses pembelajaran dapat berjalan lancar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Unit Pembangunan Sarawak ICU Bahagian Miri serta pihak kontraktor atas kerjasama dan komitmen dalam memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dengan lancar.
Chiew menegaskan beliau akan terus memberi perhatian terhadap keperluan penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan awam di kawasan Miri, khususnya yang melibatkan institusi pendidikan awal kanak-kanak.
“Usaha seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan selamat, baik dan selesa untuk kegunaan masyarakat,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling