
BINTULU: Penduduk yang belum sempat mendaftar untuk menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) masih berpeluang berbuat demikian di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu atau Pejabat Daerah Bintulu.
Program pendaftaran selama tiga hari di Dewan Suarah Bintulu mencatatkan lebih 2,000 permohonan, mencerminkan keperluan tinggi rakyat terhadap bantuan ini.

Bagi yang tidak sempat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming memaklumkan bahawa pendaftaran masih dibuka.
“Walaupun proses ini mengambil masa kerana perlu melalui verifikasi yang teliti, saya berterima kasih kepada semua yang sabar menunggu giliran.
“Jika masih ada yang belum sempat memohon, jangan risau.
Anda masih boleh mendapatkan bantuan di Pejabat Daerah Bintulu atau pusat khidmat saya,” katanya semasa meninjau sesi libat urus program SKAS Bahagian Bintulu di Dewan Suarah, hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa pendaftaran Sarawak ID dan SPay Global adalah wajib bagi memastikan penerima layak menerima bantuan, yang akan disalurkan terus ke akaun e-dompet SPay Global.
Sehubungan itu, orang ramai digesa untuk segera mendaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan mengunjungi Pusat Khidmat DUN Tanjong Batu atau Pejabat Daerah Bintulu dalam waktu operasi.
Oleh Carolyne Utih