KUCHING: Pemimpin wanita dari Borneo diseru agar menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS), tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, pendaftaran bagi program tersebut dijangka dibuka pada 27 Februari ini.
“Saya menyeru mereka agar berani merealisasikan impian, mengembangkan potensi diri, dan bersama-sama membina masa depan yang lebih cerah untuk wanita di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 Peringkat Zon Borneo di sini, hari ini.
Tambah Nancy, kepimpinan wanita adalah satu aspek penting yang sentiasa diberi perhatian kementeriannya dan antara inisiatif utama diperkenalkan ialah program PERANTIS yang dimulakan pada tahun lepas.
“Program tersebut diwujudkan untuk melahirkan lebih ramai wanita berdaya saing dalam kepimpinan serta memberikan latihan dan pendedahan praktikal kepada mereka yang bercita-cita menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang.
“Wanita muda yang menyertai program ini berpeluang dibimbing oleh pemimpin wanita berpengalaman serta membina rangkaian profesional yang dapat memperkukuhkan perjalanan mereka dalam dunia kepimpinan,” katanya.
Terdahulu, sasaran peserta untuk PERANTIS ditingkatkan kepada 100 pemimpin wanita di seluruh negara, di mana setiap seorang akan menerima sehingga RM50,000 untuk program mereka.
Selaik itu, PERANTIS turut menyasarkan seramai 5,000 peserta wanita menjelang 2025.
Oleh Mohd Neenatul Aizal