SIBU: Peningkatan permintaan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Sibu kini disokong menerusi Projek Penghantaran dan Pencawang Sungai Merah yang menyediakan sumber bekalan kuasa kedua ke bandar itu melalui Grid Pantai 132kV.
Projek berkenaan membabitkan Pencawang 132/33kV Sungai Merah, Sambungan Pencawang 132kV Sungai Maaw serta talian penghantaran hibrid 132kV dan sambungan kabel bawah tanah Sungai Merah-Sungai Maaw. Pencawang itu telah ditauliahkan pada 11 Julai 2025.
Kemudahan tersebut meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik dan kapasiti rangkaian, sekali gus menyokong pertambahan permintaan di kawasan New Sungai Merah, Ulu Sungai Merah, Rantau Panjang, Nanga Tutus, Pasai Siong dan Teku.

Peranan projek itu dalam menyokong komuniti, perniagaan serta pembangunan masa depan diketengahkan semasa lawatan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi ke Pencawang 132/33kV Sungai Merah hari ini.
Pada lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif SESCO Berhad, Yusri Safri bersama pasukan Sarawak Energy memberi taklimat mengenai bagaimana projek tersebut mengatasi kekangan rangkaian sebelum ini yang melibatkan sambungan kabel bawah tanah 33kV sedia ada antara Deshon dan New Sungai Merah.
Taklimat itu turut menjelaskan bahawa infrastruktur penghantaran baharu 132kV menyediakan kapasiti pemindahan kuasa yang lebih tinggi, sekali gus memperkukuh pengagihan bekalan elektrik di seluruh Sibu.
Selain itu, projek berkenaan menyokong piawaian kebolehpercayaan N-1 yang membolehkan sistem bekalan elektrik terus beroperasi walaupun satu komponen utama rangkaian mengalami kegagalan. Pendekatan itu mengurangkan kebergantungan kepada satu laluan bekalan serta meningkatkan keupayaan rangkaian menghadapi gangguan peralatan atau talian penghantaran.
Projek Penghantaran dan Pencawang Sungai Merah merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Sarawak Energy untuk memperkukuh rangkaian bekalan elektrik di Sibu. Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi bersama Sarawak Energy akan terus bekerjasama memperkukuh infrastruktur elektrik serta meningkatkan kebolehpercayaan bekalan dan daya tahan rangkaian di seluruh Sarawak.
Oleh Tarani Lanting




