Ahli perniagaan dapat semula hampir RM10,000 daripada skim pelaburan disyaki penipuan

Facebook
WhatsApp
GESAA SIASAT... Milton Foo menggesa pihak berkuasa menyiasat dua syarikat yang dikaitkan dengan urusan deposit dan pengeluaran wang dalam skim pelaburan dalam talian yang disyaki penipuan.

KUCHING, 19 November: Seorang ahli perniagaan berjaya mendapatkan semula hampir RM10,000 daripada skim pelaburan dalam talian yang disyaki penipuan selepas berpura-pura mahu menambah pelaburan antara RM40,000 hingga RM50,000.

Lelaki yang dikenali sebagai Tan itu berkata, dia telah membuat laporan polis selepas diminta membayar komisen dan penalti serta diugut dengan tindakan undang-undang apabila memaklumkan bahawa dia tidak akan menambah pelaburan.

Menceritakan pengalamannya pada sidang media, Tan berkata, dia memindahkan kira-kira RM10,000 menerusi dua transaksi dan pada mulanya berjaya mengeluarkan lebih RM700. Bagaimanapun, percubaan untuk mengeluarkan baki wang itu gagal, malah satu permohonan pengeluaran dibatalkan tanpa persetujuannya.

Tan berkata, dia mula curiga apabila beberapa ahli kumpulan pelaburan di WhatsApp mendakwa telah melabur antara RM20,000 hingga RM300,000, sementara ahli kumpulan itu terus menggalakkannya menambah pelaburan.

Susulan itu, dia memberitahu kumpulan berkenaan bahawa dia bersedia menambah pelaburan dengan syarat mereka menunjukkan bahawa pengeluaran dalam jumlah lebih besar boleh dibuat.

Menurut Tan, dia diberi jaminan bahawa pengeluaran itu akan diproses dalam tempoh 24 jam. Selepas mengemukakan satu lagi permohonan, dia menerima semula modal pelaburannya berserta sedikit keuntungan.

Tan berkata, dia masih berada dalam kumpulan WhatsApp yang mempunyai lebih 100 ahli itu untuk mengumpulkan maklumat dan bukti.

Pada sidang media sama, Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo berkata, Tan pada mulanya diperkenalkan kepada sebuah platform dagangan saham yang kelihatan sah.

Selepas kira-kira sebulan berdagang di bawah bimbingan seorang mentor pelaburan, Tan digalakkan beralih kepada aplikasi lain yang menawarkan pulangan sehingga 100 peratus.

Foo berkata, wang pelaburan Tan disalurkan ke akaun bank atas nama sebuah syarikat, manakala wang yang diterimanya semula datang daripada syarikat lain yang mempunyai nama hampir sama.

Katanya, kedua-dua syarikat itu masing-masing diperbadankan pada 12 dan 15 Ogos tahun ini. Kedua-duanya mempunyai setiausaha syarikat yang sama, manakala pengarah dan pemegang saham masing-masing berbeza.

Foo mengingatkan bahawa kejayaan Tan mengeluarkan wang dan memperoleh sedikit keuntungan tidak membuktikan skim itu sah.

Beliau menggesa polis dan agensi kawal selia berkaitan menyiasat kedua-dua syarikat itu, menjejaki akaun bank terbabit dan mengenal pasti aliran wang berkenaan.

Beliau turut meminta pihak berkuasa menyemak sama ada aktiviti pelaburan itu dijalankan dengan kebenaran yang sewajarnya.

Oleh Connie Chieng