PETRA JAYA: GiatMara negeri Sarawak telah berjaya melahirkan seramai 2,103 usahawan dalam pelbagai bidang iaitu pencapaian yang cukup membanggakan.
Pengarah Kanan Pelaburan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yahaya Sani berkata GiatMara negeri Sarawak kini mempunyai sebanyak 30 Pusat GiatMara dan impak yang dibawa kepada masyarakat setempat adalah sangat besar dengan 26,405 pelatih telah berjaya menamatkan latihan sejak GiatMara ditubuhkan pada 1986.
Beliau berkata GiatMara Negeri Sarawak menawarkan program latihan kemahiran yang mempunyai nilai kobolehan dapatan pekerjaan dan kebolehan pasaran dalam lebih 27 kursus sepenuh masa termasuk tujuh kursus peningkatan dan tujuh kursus pengkhususan.
“GiatMara kini mengutamakan kerjasama industri dengan menerapkan konsep ‘Teaching Factory’ dalam memperkasakan bidang kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) yang selari dengan Dasar TVET Negara 2030.
“Untuk ke arah itu, MARA turut menyediakan laluan pendidikan lanjutan kepada lepasan GiatMara yang berpotensi di institusi milik MARA. Langkah tersebut diyakini dapat membantu meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan GIATMARA yang mencapai 98.9 peritus pada 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi GiatMara Malaysia ke-37 bagi Sidang 11 Tahun 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak di sini hari ini.
Yahaya berkata MARA juga menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman dalam melahirkan usahawan yang kompetitif dan kemudahan ini harus direbut oleh lepasan pelatih GiatMara.
“MARA turut membuka ruang dan peluang melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan MARA seperti Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melalui program pengkhususan kemahiran dan program artikulasi,” katanya.
Yahaya yang juga Ahli Lembaga Pengarah GiatMara berkata, GiatMara seharusnya berbangga dengan pencapaian yang dikecapi sekarang kerana pelbagai kejayaan telah membuktikan kemahiran kini menjadi pilihan untuk pekerjaan mahupun bidang keusahawanan.
“Sebagai contoh, Muhammad Firdaus Mokhadzir merupakan lepasan pelatih dari Kursus Teknologi Motosikal di GiatMara Subang telah bekerja sebagai mekanik 2 bagi pasukan perlumbaan motosikal yang berpangkalan di Sepanyol dengan pendapatan mencecah RM15,000 sebulan.
“Begitu juga Muhammad Luqmanul Hakim Selamat lepasan GiatMara Ampang Jaya yang berjaya bekerja sebagai pereka fesyen rambut di Kota London dengan berpendapatan sekitar GBP450 (British Pound Sterling) atau RM2,500 seminggu,” katanya.
Pada majlis tersebut, seramai 496 graduan menerima sijil pada kali ini dan difahamkan bagi 2023, seramai 1,226 orang pelatih telah berjaya menamatkan latihan dan menerima Sijil Profesional GiatMara di negeri Sarawak.
Turut hadir pada majlis graduasi tersebut Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA Malaysia, Ts. Ahmad Hamdi Ibrahim.
Oleh ADI SAFARMAN