
SARIKEI: Keprihatinan terhadap pembangunan pendidikan terus menjadi keutamaan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, apabila beliau mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM100,000 tahun ini bagi penambahbaikan kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, setakat ini telah menyalurkan sejumlah RM750,000 kepada sekolah tersebut menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta pelbagai saluran lain.
Baru-baru ini, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii turut mengadakan lawatan ke SMK Tinggi Sarikei untuk meninjau keperluan pembangunan serta mendengar pembentangan cadangan projek oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan sekolah, Dr. Chieng King Chong.
Berdasarkan rekod, peruntukan RTP kepada sekolah ini adalah sebanyak RM120,000 pada 2016, RM100,000 masing-masing pada 2019 dan 2020, RM80,000 pada 2021, RM50,000 pada 2022 serta RM100,000 masing-masing bagi 2023, 2024 dan 2025.
Dr. Chieng turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Sri Huang atas sokongan berterusan, bukan sahaja dalam menaik taraf infrastruktur sekolah, malah turut memberi tumpuan kepada kebajikan pelajar.
Beliau memaklumkan bahawa selain daripada peruntukan rasmi, Tiong Sii juga telah membuat sumbangan peribadi untuk pembangunan sekolah.
“Datoʼ Sri Huang Tiong Sii amat prihatin terhadap pendidikan di kawasan ini. Selain menaik taraf kemudahan fizikal, beliau turut menyumbang kepada kebajikan pelajar dengan menaja pakaian seragam, kasut dan beg sekolah yang banyak membantu meringankan beban ibu bapa,” katanya.
Beliau menyifatkan Dato’ Sri Huang Tiong Sii sebagai seorang wakil rakyat yang berdedikasi, rajin dan sentiasa berkhidmat dengan sepenuh hati demi kesejahteraan masyarakat di Parlimen Sarikei.
Oleh Earl Anek